Tuntutan Kumpulan Masyarakat Sivil: Susulan Peningkatan Kes Kematian Dalam Tahanan Pada Tahun 2022

11 FEBRUARI 2022

Organisasi masyarakat sivil Malaysia yang tertulis di bawah ingin membangkitkan keresahan mengenai kes kematian dalam tahanan yang kian meningkat baru-baru ini, di mana tujuh kes kematian dalam tahanan PDRM telah dilaporkan dalam lima minggu pertama tahun 2022. Trend ini amat merisaukan serta tidak boleh diterima sama sekali. Sepanjang dekad ini, pihak umum dan masyarakat sivil telah menyatakan pendirian yang tegas dan cadangan yang komprehensif kepada PDRM dan Kerajaan Malaysia, namum pihak berkuasa masih gagal mencegah kes kematian dalam tahanan dan membenarkan insiden sebegini berulang.

Walaupun pendekatan PDRM yang memaklumkan pihak umum berkenaan dengan kes kematian yang berlaku dalam tahanan polis adalah melalui Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) adalah dialu-alukan, namun ketelusan dan akauntabiliti pihak PDRM dalam pengendalian kes-kes tersebut adalah kurang memuaskan.

Setakat ini, pihak PDRM masih gagal mengumumkan butiran mangsa-mangsa seperti nama, keadaan kesihatan (mental dan fizikal) mangsa sebelum ditahan dan sepanjang waktu tahanan, status siasatan dari semasa ke semasa dan laporan bedah siasat. Butiran-butiran ini penting untuk mengenal pasti punca-punca kematian bagi menentukan sama ada elemen jenayah, salah laku atau kecuaian terlibat dalam kes-kes tersebut, dan seterusnya mengambil tindakan susulan terhadap pegawai-pegawai yang melanggar kod etika kerja dan mecabuli hak asasi manusia.
Seksyen 334 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dengan jelas menetapkan kewajipan menjalankan prosiding inkues bagi semua kematian yang berlaku dalam tahanan polis. Mahkamah Khas Koroner pula ditubuhkan pada tahun 2014 bagi mengurus dan menjalankan inkuses atas kes kematian termasuk kematian dalam tahanan.

Kanun Tatacara Jenayah dan Arahan-arahan Amalan secara jelas menyatakan tugas-tugas koroner, termasuk keperluan untuk memeriksa mayat di tempat kejadian, keperluan untuk mengambil bahagian dalam pemeriksaan bedah siasat, kewajipan untuk memberitahu waris si mati, dan keperluan untuk memberikan notis kepada waris mengenai masa terdekat di mana inkues akan dilaksanakan. Arahan Amalan No.2/2019 oleh Ketua Hakim Richard Malanjum menegaskan bahawa semua inkues kematian dalam tahanan mesti diselesaikan dan dilaporkan dalam tempoh enam bulan.
Oleh itu, kami ingin mengetahui sama ada PDRM dan pihak berkuasa telah menghubungi dan memberikan nasihat kepada ahli keluarga mangsa mengenai kes kematian dalam tahanan dan langkah seterusnya yang boleh diambil untuk memulakan siasatan. Jikalau pihak PDRM, pendakwa raya dan Menteri Dalam Negeri masih gagal menjalankan inkuses atas kes kematian dalam tahanan polis, maka perbuatan mereka boleh dilihat sebagai suatu penghinaan mahkamah.

Oleh itu, kami ingin mengetahui sama ada PDRM dan pihak berkuasa telah menghubungi dan memberikan nasihat kepada ahli keluarga mangsa mengenai kes kematian dalam tahanan dan langkah seterusnya yang boleh diambil untuk memulakan siasatan. Jikalau pihak PDRM, pendakwa raya dan Menteri Dalam Negeri masih gagal menjalankan inkuses atas kes kematian dalam tahanan polis, maka perbuatan mereka boleh dilihat sebagai suatu penghinaan mahkamah.

Pengumuman oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad bahawa hanya satu dari tujuh kes kematian dalam tahanan melibatkan unsur jenayah juga diragui. Siasatan dilaksanakan oleh pasukan polis sendiri dan bukan oleh pihak ketiga yang bebas dan tidak berat-sebelah, dan memandangkan persepsi terhadap PDRM yang cenderung untuk mempertahankan imej polis, kredibiliti laporan tersebut wajar dipersoalkan.

Sebagai contoh, susulan kematian yang membabitkan lelaki berusia 63 tahun di Lokap IPD Taiping, pihak polis telah menahan dua anggota polis dan dua tahanan lokap bagi tujuan siasatan. Semasa sidang media, Pengarah JIPS telah gagal memberikan penerangan sama ada kes kematian ini melibatkan unsur jenayah. Pihak PDRM perlu menjawab secara telus dan jujur mengenai sebab-sebab mereka ditahan, penglibatan mereka dalam kes kematian tersebut, perkembangan siasatan dan tindakan susulan bagi kes kematian dalam tahanan yang sekiranya melibatkan unsur jenayah.
Oleh hal yang demikian, kami, ahli masyarakat sivil Malaysia, menyeru agar langkah-langkah ini diambil serta-merta untuk menangani kes kematian dalam tahanan polis:

1. Menjalankan inkuses atas ketujuh-tujuh kes kematian dalam tahanan polis dengan serta-merta.

Walaupun siasatan JIPS berkaitan dengan ketujuh-tujuh kes kematian dalam tahanan polis telah selesai, namun prosiding inkuses masih perlu dijalankan mengikut Seksyen 334 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593). Kami menyeru agar pihak PDRM bekerjasama dengan pendakwa raya, dan meminta pendakwa raya menggunakan kuasa beliau di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan koroner menjalankan siasatan ke atas setiap kematian dalam tahanan.

Kami juga menegaskan bahawa istilah ‘sebab kematian’ di bawah Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah bukan hanya tertakluk kepada sebab-sebab kematian yang didapati melalui pemeriksaan bedah siasat, malah ia juga termasuk kematian berpunca daripada sebarang kecuaian, salah laku dan perbuatan yang menyalahi undang-undang. Oleh itu, kewajipan koroner bukan semata-mata mengenal pasti punca kematian perubatan, tetapi beliau perlu menentukan keadaan kematian, seperti sama ada punca kematian adalah luar biasa atau melibatkan unsur jenayah.

2. Menubuhkan unit kesihatan atau pusat rawatan (in-house health facilities) di dalam setiap pusat tahanan polis

Berdasarkan Laporan Hak Asasi Manusia 2021 oleh Suara Rakyat Malaysia, 57 peratus atau 11 daripada 19 kes kematian dalam tahanan adalah berkaitan dengan masalah kesihatan dan perubatan. Manakala, pengarah JIPS mengumumkan dua kes meninggal dunia di hospital dan satu kes melibatkan kematian ketika mangsa dalam perjalanan ke hospital.

Data ini menunjukkan bahawa PDRM kekurangan latihan yang sesuai dan tidak mempunyai kemudahan kesihatan dan sumber perubatan yang asas. Hal ini bukan sahaja menyumbang kepada persekitaran yang menindas bagi tahanan, malah melambatkan rawatan untuk OKT yang mengalami kecemasan atau keadaan kesihatan yang kritikal, dan seterusnya mengakibatkan kematian dalam tahanan.

Seksyen 10 Peraturan Lokap 1953, menetapkan seorang pegawai perubatan untuk menjalankan pemeriksaan bagi setiap orang yang dimasukkan ke pusat tahanan, untuk memastikan mereka sesuai untuk ditahan. Kami menuntut Kerajaan Malaysia menyusun rancangan segera untuk menubuhkan unit kesihatan di semua lokap dan pusat tahanan bagi memastikan bahagian undang-undang ini dipatuhi.

Ini memenuhi tanggungjawab negara dalam memastikan kesemua tahanan dirawat dengan maruah dan kemanusiaan seperti yang ditetapkan dalam Peraturan 30 United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners, juga dikenali sebagai Peraturan Nelson Mandela dan Prinsip 24 Body of Principles for the Protection of All Persons under Any Form of Detention or Imprisonment.

Kami sedar akan usaha semasa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang berkerjasama dengan PDRM untuk menubuhkan unit kesihatan di lokap Bayan Baru di Pulau Pinang dan Indera Mahkota di Pahang, yang akan dikembangkan ke lokap-lokap lain di Selangor, Kuala Lumpur, dan Sabah dalam tempoh masa enam bulan. Kami menuntut agar saranan oleh SUHAKAM ini untuk menubuhkan sebanyak mungkin unit kesihatan di seluruh Malaysia dapat dipercepat bagi menghentikan kematian akibat masalah kesihatan.

3. Melantik badan luar yang bebas untuk menyiasat kes-kes terbaru Kematian Dalam Tahanan

Menilai bahawa pihak polis tidak boleh, dengan efektif, menjalankan siasatan bebas ke atas badan dan anggota mereka sendiri–ianya juga sebab mengapa cadangan penubuhan IPCMC tercetus–kami mendesak supaya langkah-langkah sesuai diambil untuk melantik badan luar yang telus dan bebas untuk menyiasat kesemua kematian dalam tahanan baru-baru ini.

Kami menuntut Menteri Dalam Negeri melantik badan luar yang bebas untuk menjalankan siasatan menyeluruh. Ini termasuk mengumpul maklumat salah laku, prosedur penahanan, dan prosedur operasi standard (SOP) yang betul di dalam pusat tahanan seperti yang termaktub dalam Peraturan Lokap 1953 dan Kanun Tatacara Jenayah (KTJ). Dalam berpegang pada prinsip ketelusan, dapatan siasatan seharusnya didedahkan sepenuhnya sebagai perkara yang menyentuh kepentingan awam.

4. Tarik balik Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)

RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) merupakan suatu dokumen yang sangat regresif dan kekuasaan mereka lebih lemah daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang sudah pun sedia lemah. IPCC tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan penggeledahan dan penyitaan dalam siasatan, tidak boleh melawat lokap atau mana-mana tempat tahanan tanpa notis awal, dan hanya mempunyai kuasa terhad untuk mengakses dokumen dan bukti jika ia dianggap ‘memudaratkan negara keselamatan atau kepentingan negara’. Suruhanjaya itu ditakdir untuk gagal dalam semak dan imbang, dan memelihara akauntabiliti PDRM dalam melindungi hak dan kepentingan orang ramai.

Pelaksanaan IPCMC haruslah selari dengan cadangan-cadangan oleh anggota masyarakat sivil (CSO) dan standard antarabangsa berhubung dengan sikap tidak berat sebelah dan kebebasan. Cadangan-cadangan ini termasuk:

● Kuasa untuk menyiasat dan mengumpulkan bukti;
● Akses ke pusat tahanan atau tempat di mana berlakunya kematian dan salah guna kuasa, dan;
● Keupayaan untuk melaksanakan syor untuk menuduh dan mengambil tindakan tatatertib terhadap individu yang didapati bertanggungjawab dan melakukan kesalahan.

Oleh itu, kami sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan perlu menarik balik RUU IPCC dan memastikan pelaksanaan IPCMC selari dengan cadangan-cadangan oleh anggota masyarakat sivil dan standard antarabangsa berhubung dengan sikap tidak berat sebelah dan kebebasan.

Penubuhan IPCMC tidaklah bertujuan untuk memangsakan pihak PDRM namun merupakan satu usaha untuk meningkatkan integriti serta kepercayaan umum terhadap badan yang terpenting dalam menjaga keselamatan awam di Malaysia. IPCMC juga bertujuan untuk memberikan saranan berkenaan kebajikan pihak polis agar dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap.

Kesimpulan

Jumlah kematian dalam tahanan polis yang mencecah tujuh kes dalam tempoh lima minggu pertama tahun 2022 harus dilihatkan sebagai DARURAT yang sedang mengancam hak untuk hidup yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Kami, anggota-anggota masyarakat sivil Malaysia, menyeru PDRM dan Kerajaan Malaysia untuk menerima pakai empat cadangan ini dalam usaha membendung kes kematian dalam tahanan polis. Kami ingin menegaskan bahawa PDRM perlu memandang serius terhadap punca-punca yang menyebabkan kematian sebegini kerap berlaku dan menambah baik cara pengendalian kes kematian sebegini dengan segera.

Cara yang paling berkesan untuk mencegah kes kematian dalam tahanan polis, menangani kesangsian semasa masyarakat umum dan keraguan, serta mengembalikan keyakinan pihak umum terhadap agensi penguatkuasaan terbesar kita, iaituPDRM adalah melalui penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) secepat mungkin.

Memorandum ini disokong oleh:
1. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
2. Undi 18
3. Jaringan Kebajikan Komuniti
4. Institut Nyala
5. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
6. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
7. Parti MUDA
8. MAJU
9. Agora Society
10. CAGED, Citizens Against Enforced Disappearances
11. Centre for independent journalism (CIJ)
12. All Women’s Action Society (AWAM)
13. New Student Movement Alliance of Malaysia (NESA)
14. Malaysia Youths and Students Evolution Johor Branch
15. University of Malaya Association of New Youth (UMANY)
16. Persatuan Sahabat Wanita Selangor
17. Tenaganita
18. Beyond Borders Malaysia
19. Justice for Sisters
20. Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM)
21. Happy Learning Books
22. The KLSCAH Women Division
23. Persatuan Komuniti Prihatin Selangor & KL
24. Pusat KOMAS
25. Our Journey
26. Pertubuhan Serikat Rakyat Malaysia
27. Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya
28. Angkatan Mahasiswa UM
29. Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia
30. Lyceum Society
31. Student Progressive Front UUM
32. Stateless Malaysians (STATELESS.my)
33. Voice of Youtharian (VOY)
34. KLSCAH Youth
35. Gerakan Guaman Rakyat (GEGAR)
36. Enlight Malaysia
37. Pertubuhan IKRAM Malaysia
38. Amnesty International Malaysia
39. Family of Raymond Koh
40. Malaysia Muda
41. Stateless Children Family Support Group (SFSG)
42. Advancing Knowledge in Democracy and Law Initiative
43. Sabah Reform Initiative (SARI)
44. Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)
45. Save Malaysia Stop Lynas
46. SAVE Rivers
47. TAR Association New Youth
48. DAPSY Kota Kinabalu
49. ALIRAN
50. Teoh Beng Hock Trust for Democracy