Penganiayaan berterusan terhadap Nur Sajat menandakan peningkatan ekstremisme yang semakin membimbangkan di Malaysia

24 SEPTEMBER 2021

Kami, kumpulan masyarakat sivil, memandang serius perkembangan kes Nur Sajat. Pada 8 September 2021, Nur Sajat ditahan oleh Jabatan Imigresen Thailand berikutan permintaan pihak berkuasa Malaysia. Perkembangan berbahaya ini di sebalik pembatasan kebebasan beragama yang semakin meningkat dan peningkatan sentimen anti-LGBTQ, mempunyai kesan yang luas kepada semua orang, bukan sahaja kepada Sajat dan individu LGBTIQ.

Sejak pendedahan oleh Harian Metro pada 20 September 2020, beberapa pelaku negara memberikan respon yang membimbangkan. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan telah menyatakan bahawa PDRM sedang bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara untuk membawa pulang Nur Sajat. Menurut sebuah kenyataan media oleh PDRM, Nur Sajat dikehendaki atas tuduhan-tuduhan berikut:

Mempersendakan Islam (S. 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor)
Menghalang penjawat awam pada menjalankan kerja-kerja jawatannya (S. 186 Kanun Keseksaan)
Menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai awam daripada menjalankan kewajipannya (S. 353 Kanun Keseksaan)
Terdahulu Nur Sajat dilaporkan dituduh di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Selangor untuk menghina Islam. Akan tetapi, PDRM melaporkan bahawa Nuru Sajat dikehendaki di bawah Seksyen 9, dan bukan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Dua pertuduhan terakhir adalah berkaitan dengan pergelutan fizikal yang berlaku di JAIS, selepas pegawai JAIS menangkap Nur Sajat setelah mengambil keterangannya. Nur Sajat melaporkan bahawa dia ditahan dan digari secara kasar. Nur Sajat juga membuat laporan polis terhadap pegawai JAIS pada 13 Januari. Bagaimanapun, status siasatan tersebut masih tidak diketahui.

Dalam satu komunikasi kepada kerajaan Malaysia berkenaan kes Nur Sajat (JUA MYS 4/2021), pemegang Mandat Khas PBB menyatakan bahawa, “Cik Sajat tidak boleh didiskriminasi dan dihalang daripada mempraktikkan haknya kepada kebebasan beragama atau kepercayaan semata-mata berdasarkan identiti gender. Seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 29(2) UDHR, hak dan kebebasan seseorang hanya boleh dikenakan batasan seperti ditentukan oleh undang-undang semata-mata untuk tujuan mendapatkan pengiktirafan dan penghormatan atas hak dan kebebasan orang lain serta untuk memenuhi syarat moral, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum yang adil dalam masyarakat demokratik, tidak terkesan secara negatif oleh aktiviti Cik Sajat.”

Dalam komunikasi ini, kerajaan diminta untuk memberikan maklumat berikut:

Langkah-langkah yang telah diambil untuk menjamin hak Cik Nur Sajat terhadap kebebasan beragama atau kepercayaan tanpa diskriminasi dan gangguan oleh pelaku bukan negara dan pelaku negara.
Tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk melindungi Cik Nur Sajat dan keluarganya daripada ugutan, gangguan atau tekanan lebih serius serta untuk memastikan keselamatan mereka.
Apakah tindakan yang dirancang atau dilaksanakan untuk memerangi pola hasutan terhadap keganasan yang semakin meningkat?
Permanent Mission of Malaysia pada 24 Mac 2021 telah menjawab komunikasi tersebut dengan menyatakan bahawa mereka telah “mengirimkan Permohonan Segera Bersama (JUA) untuk perhatian segera pihak berkuasa Malaysia yang relevan.”

Kesan yang meluas

Sejak pendedahan Harian Metro, pelbagai pelaku negara telah mengambil peluang ini untuk mengenakan pelbagai kengkangan terhadap individu transgender dan LGBTQ, yang secara bertahap meningkat sejak pengenalan fatwa pada tahun 1982 yang memberi kesan kepada hak individu trans ke atas penentuan nasib sendiri dan otonomi badan.

– Jawatankuasa Fatwa Perlis mengeluarkan fatwa, bertajuk Hukum Berinteraksi Dengan Mukhannath (Pondan / Mak Nyah / Bapuk / Pengkid / Tomboi / Transgender) atau panduan interaksi dengan mukhannath (Pondan / Mak Nyah / Bapu / Pengkid / Tomboy / Transgender), yang menganggap individu transgender dan LGBQ secara umum sebagai fasik atau seseorang yang melanggar undang-undang Islam kerana identiti gender dan ekspresi gender serta anggapan orientasi seksual. Pandangan jawatankuasa berkenaan identiti gender, ekspresi gender dan orientasi seksual adalah tidak tepat, tidak berdasarkan bukti dan hak, dan yang paling penting ialah ianya sangat berbahaya. Antara perkara berbahaya dalam fatwa adalah larangan individu transgender daripada memasuki masjid dan menunaikan haji serta umrah oleh sebab identiti gender mereka.

– YB Nik Abduh (MP Bachok, Kelantan) mencadangkan lebih banyak program pemulihan yang ditaja oleh kerajaan bagi individu LGBT di Parlimen pada 21 September 2021. Amalan pemulihan atau penukaran tidak berasaskan fakta dan ditolak secara meluas kerana kesan buruk yang berpanjangan terhadap bukan sahaja individu LGBTIQ tetapi juga individu dalam lingkungan mereka.

Hal ini menyusul jawapan Perdana Menteri di Parlimen, di mana beliau menyatakan bahawa kerajaan telah melancarkan pelbagai kegiatan untuk membimbing golongan LGBT ‘kembali ke pangkal jalan’.

Sentimen anti-LGBT yang berterusan dan meningkat di Malaysia adalah amat membimbangkan.

Kajian Suhakam berkenaan diskriminasi terhadap individu transgender di Kuala Lumpur dan Selangor mendapati bahawa 72 daripada 100 responden pernah terfikir untuk berhijrah ke negara-negara yang mempunyai perlindungan undang-undang yang lebih baik, pengiktirafan gender yang sah, persekitaran yang menerima mereka, antara lain. 54 responden mengatakan bahawa mereka tidak rasa selamat tinggal di Malaysia. Menurut Kementerian Dalam Negeri, antara 2017 dan 2018, lebih 50% orang yang meminta perlindungan politik di Australia dilaporkan adalah rakyat Malaysia. ‘LGBT’ dan diskriminasi atas dasar etnik dan agama adalah dua daripada empat sebab utama yang dikemukakan oleh pemohon Malaysia. Sebab-sebab lain termasuklah keganasan rumah tangga dan tekanan keluarga.

Kami mahu mengingatkan kerajaan bahawa dalam usaha Malaysia untuk mendapatkan kerusi di Majlis Hak Asasi Manusia, Malaysia telah membuat beberapa janji semasa sesi berjanji Majlis Hak Asasi Manusia pada 8 September 2021. Malaysia mengulangi komitmennya secara tegas untuk memajukan hak asasi manusia. Sejajar dengan ini, kerajaan Malaysia haruslah menghormati prinsip non-refoulement (larangan pemulangan semula pencari suaka ke negara asal di mana mereka rentan terhadap pencabulan hak asasi manusia) dan hak Nur Sajat untuk mencari suaka.

Kami meminta kerajaan dan masyarakat untuk menghentikan semua penyiasatan dan gangguan terhadap Nur Sajat, serta menghormati haknya untuk mencari suaka seperti yang dinyatakan dalam Perkara 14 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. Ancaman dan risiko terhadap Nur Sajat kerana identiti gender adalah jelas. Selama bertahun-tahun, Nur Sajat telah mengalami pelbagai bentuk penganiayaan, termasuklah dibuli, penyebaran maklumat peribadi tanpa kebenaran (doxing), gangguan oleh pelaku negara dan bukan negara, yang semakin meningkat dari hari ke hari.

Disokong oleh
1. Justice for Sisters
2. Agora Society
3. All Women’s Action Society (AWAM)
4. Amnesty International Malaysia
5. Association of Women Lawyers (AWL)
6. Center for Independent Journalism
7. Deaf LGBTIQ community
8. Diversity Malaysia
9. EMPOWER Malaysia
10. JEJAKA
11. KRYSS Network
12. Legal Dignity
13. PLUHO (People Like Us Hang Out!)
14. North South Initiative
15. Sisters in Islam (SIS)
16. Shh… Diam!
17. Parti Sosialis Malaysia
18. PELANGI Campaign
19. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
20. Our Journey
21. Transmen of Malaysia
22. Tenaganita
23. The KLSCAH Women Division
24. UMANY
25. Women’s Center for Change (WCC)