Surat Kepada YAB Perdana Menteri Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia

19 NOVEMBER 2021

YAB Perdana Menteri yang dihormati,

Sangat sukar untuk kami meraikan Hari Kanak-kanak Sedunia dengan penuh kegembiraan. Di AWAM, setiap bulan kami akan membaca, mengumpul dan menyusun artikel di media berkaitan kes rogol kanak-kanak di bawah umur atau ‘statutory rape’. Kes-kes ini melibatkan kanak-kanak yang berusia semuda tujuh tahun. Ia sentiasa menjadi satu trauma kepada kami setiap kali membaca perkara yang telah berlaku kepada kanak-kanak ini tanpa mengira jantina; lelaki dan perempuan. Namun, apa yang kami rasai pastilah tidak akan setanding dengan apa yang telah dilalui oleh kanak-kanak ini.

Lonjakan kes ‘statutory rape’ adalah sangat menakutkan. Sehingga Oktober 2021, bilangan kes ‘statutory rape’ adalah 71% daripada jumlah kes rogol keseluruhan bagi tahun ini, seperti yang telah dilaporkan dalam media yang dipantau oleh AWAM. Berdasarkan rekod klien AWAM pada tahun ini, pemandiri kes rogol termuda yang diterima adalah kanak-kanak berusia dua tahun.

Namun, ia adalah satu perkara yang sangat menyedihkan kerana ‘statutory rape’ adalah satu bentuk keganasan yang sangat berat bagi kanak-kanak di Malaysia. Pada April tahun ini, kami terpaksa mengumpulkan laporan mengenai 215 pelajar yang menghadapi gangguan seksual di sekolah. Semasa pandemik, terdapat kebimbangan terhadap trend peningkatan dalam kes perkahwinan bawah umur, akibat isu-isu sosial seperti isu kemiskinan.

Apakah sebenarnya masa depan yang boleh disediakan untuk anak-anak kita? Mengapa kami katakan anak-anak kita? Ini kerana, kita semua adalah Keluarga Malaysia. Maka, setiap kanak-kanak di Malaysia adalah anak-anak kita semua.

Tuan Perdana Menteri, sehingga kini, kita masih melihat bagaimana budaya rogol diterapkan dalam masyarakat dengan menggunakan cara yang paling menyedihkan, iaitu melalui “contoh teladan”. Sepanjang tempoh tiga tahun yang lalu, kita melihat bagaimana terdapat ahli politik yang menyatakan adalah tidak salah sekiranya pemandiri kes rogol berkahwin dengan perogol mereka, pensyarah yang menyalahkan pemandiri dengan mempersoalkan pemakaian dan tingkah laku adalah punca rogol, dan seorang pelakon yang menyebut adegan rogol sebagai satu perkara yang membanggakan dalam satu program bual bicara. Ini menunjukkan bahawa masih terdapat budaya patriarki yang meletakkan status wanita sebagai warga kelas kedua. Budaya ini telah membawa kesan yang sangat besar kepada anak-anak kita dan menyebabkan mereka masih berisiko menjadi mangsa gangguan seksual di sekolah, sama ada oleh rakan sebaya atau pihak berkuasa.

Sekali lagi, kami ingin bertanya, masa depan bagaimanakah yang ingin kita sediakan untuk anak-anak kita?

YAB Perdana Menteri, kami amat pasti bahawa visi Keluarga Bahagia anda tidak termasuk pengantin bawah umur, sama ada kanak-kanak lelaki atau perempuan, pelajar yang mengalami gangguan seksual dan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa berwarga Malaysia tetapi mereka tidak memiliki kewarganegaraan kita. Lagipun, anda telah berjanji untuk “melindungi anak-anak kita daripada sebarang amalan berbahaya dan diskriminasi”. Tuan Perdana Menteri, kita semua perlu mematuhi ikrar ini dan anda perlu bertindak untuk memimpin ikrar ini.

YAB Perdana Menteri, mujurlah strategi ke hadapan adalah jelas. Sebagai permulaannya, kita sangat memerlukan pegawai penguatkuasaan undang-undang dan pegawai kehakiman, serta golongan lelaki termasuk remaja dan kanak-kanak lelaki di Malaysia yang lebih peka gender- dengan menjalankan latihan pembinaan kapasiti dan kempen pendidikan yang mandatori, konsisten dan berkesan.

Kita perlukan persekitaran sekolah yang selamat. Oleh itu, kita memerlukan komitmen daripada Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan dasar toleransi sifar terhadap gangguan seksual di semua institusi pendidikan, antaranya perlu melaksanakan latihan kepekaan gender yang konsisten bersama-sama pihak berkuasa dan memasukkan modul kesedaran tentang gender dalam kurikulum di institut latihan perguruan.

Bagi isu perkahwinan bawah umur, kita perlu menggalakkan agar semua negeri mencontohi negeri Selangor yang telah menaikkan umur perkahwinan minimum yang sah bagi Muslim dari umur 16 ke umur 18 tahun. Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu menyediakan kerangka masa yang jelas bagi pelaksanaan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur (2020 – 2025).

YAB Perdana Menteri, negara kita baharu sahaja menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia di PBB. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk bergerak. Sudah sampai masanya bagi Malaysia untuk menarik balik pengecualian terhadap hak kewarganegaraan kanak-kanak dalam Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC); kedua-dua konvensyen di mana Malaysia telah diratifikasi.

Masa depan anak-anak kita terletak di tangan anda. Kami sangat mengharapkan anda, YAB Perdana Menteri.

Yang ikhlas,
Persatuan Pergerakan Wanita / All Women’s Action Society (AWAM)